Ceritanya begini, saya mendapat satu panggilan dari seorang pemilik rumah di Selangor dan memperkenalkan diri dengan panggilan Pakcik Naem (bukan nama sebenar). Pakcik Naem menyatakan hasrat untuk jual rumah tapi perlukan bantuan saya sebagai Ejen Hartanah.
“Alhamdulillah, rezeki Allah.” Ujar saya dalam hati.
Saya pun aturkan lah pertemuan dengan Pakcik Naem pada tarikh yang dipersetujui. Sebaik saja saya tiba dihadapan rumah, saya disambut oleh seorang lelaki yang agak berusia. Dari raut wajah dan melihat uban yang menghiasi rambutnya membuatkan hati saya tersentak seketika. Ya Allah! teringat saya pada arwah ayah. Kitaorang pun berbalas senyuman mesra.
“Senang tak zam cari rumah pakcik?” soal Pakcik Naem kepada saya. “Ejen Hartanah macam zam mestilah dah familiar dengan kawasan ni” kata Pakcik Naem lagi.
“Kalau susah cari, saya guna waze jer.” jawab saya sambil tergelak.
Pakcik Naem pun jemputlah saya masuk ke dalam rumah untuk teruskan perbincangan. Dia pun mula bercerita sejak pandemik covid ni perniagaan dia merosot teruk. Boleh dikatakan hampir semua cawangan perniagaan terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian.
Pkp lah, total lockdown lah dengan daruratnya lagi dia terpaksa guna semua duit simpanan sendiri untuk membiayai gaji-gaji pekerja, kos sewa premis dan hutang-hutang yang lain sehingga simpanan sendiri berkurangan ke tahap yang agak kritikal dan akhirnya Pakcik Naem membuat pinjaman wang dari sebuah syarikat (X) bagi menyelesaikan masalahnya.
“So kalau masalah pakcik dah selesai kenapa pakcik nak jual rumah ni?” Ujar saya. “Rumah cantik, besar, dah reno, bilik banyak, pakcik tak sayang ker?”
“Erm… macam ni zam, pakcik nak jual rumah ni sebab pakcik nk bayar balik hutang yang pakcik pinjam dari syarikat tu dan pakcik akan cari rumah lain.”
Haaaa … Di sini la bermula kisah niat nak MEMINJAM tapi rumah TERGADAI ….
Sebagai permulaan, saya pun mintaklah beberapa dokumen seperti perjanjian jual beli (SPA), Geran individu dan lain-lain dokumen untuk saya lihat agar lebih mudah untuk saya faham status kes.
Setelah meniliti dokumen dan mendapatkan info dari Pakcik Naem, saya berasa curiga terhadap status kes rumah yang nk dijual ni. Saya senaraikan point-point penting bagi merungkai persoalan yang bermain difikiran saya.
- Pakcik Naem beli rumah ni secara cash pada harga 900k
- Pinjaman hutang yang dibuat dengan syarikat X berjumlah 300k.
- Penjanjian jual beli dan Geran Individu dengan jelas tertera nama syarikat X.
- Cukai pintu pun telah didaftarkan atas nama syarikat X.
- Terdapat surat cara yang disempurnakan berkaitan hal pindah milik antara Pakcik Naem dan wakil syarikat X.
saya pun mengasak lagi Pakcik Naem dengan bertanya beberapa soalan. Dah macam pendakwaraya dalam mahkamah!. Bertubi-tubi soalan.
Terkejutnya saya apabila dimaklum oleh Pakcik Naem bahawa semasa menguruskan pinjaman dari syarikat X, dia di mintak untuk membawa semua dokumen rumah dan perlu menandatangani semua dokumen yang disediakan oleh pihak peguam yang di lantik oleh syarikat X atas alasan ini adalah amalan biasa sebelum pinjaman diberikan.
“Pakcik Naem sedar n tahu tak apakah jenis-jenis dokumen yang ditandatangani pada pertemuan tersebut?” tanya saya dengan nada yang agak serius.
“Yang saya tahu banyak dokumen kena tandatangan, tapi tak tahu dokumen apa. lawyer pun tak jelaskan melainkan hanya bagi tahu ini amalan biasa prosedur pinjaman.” ujar Pakcik Naem.
Sah! Sebenarnya Pakcik Naem telah ditipu atas nama pinjaman. Semua dokumen yang ditandatangan itu adalah dokumen penjualan rumah. Pakcik Naem bukan lagi pemilik yang sah dan pakcik Naem takde hak untuk menjual rumah ni. 300k itu bukan pinjaman, tapi harga belian dari syarikat X. Tapi mereka terlalu licik memperdaya Pakcik Naem yang tidak tahu apa-apa. Kasihan sungguh!
“Pakcik Naem telah ditipu, malah rumah ini di beli dengan harga yang terlalu rendah. Duit yang Pakcik Naem terima bukan duit pinjaman tapi duit hasil penjualan rumah.” tegas saya kepada dia.
Terus berubah muka Pakcik Naem. Rasa sedih, kecewa, marah membuak-buak. Berulang kali memaki hamun Syarikat X. Ahli keluarga lain yang dengar perbualan kitaorang pun rasa kecewa tak terkata. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Nasi sudah menjadi bubur. Ingat gaiss! Di saat kita berada dalam kesempitan dengan keadaan yang tidak menentu akan ada pihak lain yang mengambil kesempatan.
Saya nasihat kan Pakcik Naem agar laporkan perkara ini kepada kepada pihak berkuasa. Ya! memang kalau di bawa ke mahkamah sekali pun pasti kes ini tidak akan memihak kepada Pakcik Naem. Tapi sekurang-kurangnya ada satu usaha untuk mendapatkan hak kita semula biarpun peluang tu agak tipis. Semoga ianya menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua.